Tuesday, October 27, 2009

PKK (PERKEMBANGAN FIZIKAL DAN KOGNITIF SERTA TEORI YANG BERKAITAN)

4.0 PERKEMBANGAN FIZIKAL DAN KOGNITIF SERTA TEORI YANG BERKAITAN

4.1 PERKEMBANGAN FIZIKAL KANAK-KANAK (6-12 TAHUN)


Perkembangan fizikal ialah perkembangan motor yang merangkumi kemahiran-kemahiran koordinasi otot untuk menjalankan aktiviti-aktiviti fizikal. Contohnya ialah seperti berjalan, berlari, memanipulasi objek, duduk, melompat dan sebagainya. Selain itu, perkembangan fizikal juga merangkumi perkembangan sensori, khasnya penglihatan dan pendengaran.

Semasa perkembangan, kanak-kanak akan mengalami perubahan dari segi ketinggian, berat badan, menjadi lebih kuat dan dapat melibatkan diri dalam kegiatan fizikal yang lebih kompleks yang lain. Pada peringkat kanak-kanak, kadar pertumbuhan dan perkembangan pada peringkat ini adalah lebih stabil dan tidak begitu pesat jika dibandingkan dengan peringkat-peringkat sebelum ini. Selain itu juga, pertumbuhan dan perkembangan pada peringkat ini lebih kepada bercorakkan penambahbaikan kemahiran-kemahiran psikomotor yang sedia ada.

Pada peringkat umur 6 hingga 8 tahun iaitu ketika pertengahan kanak-kanak, dapat dilihat beberapa perkembangan fizikal berlaku iaitu ketinggian dan berat badan meningkat secara perlahan hinggalah keperingkat remaja. Gigi susu juga perlahan-lahan diganti dengan gigi kekal dan penulisan kanak-kanak ketika ini menjadi lebih kecil dan baik. Pada ketika ini juga, kanak-kanak mampu menghasilkan lukisan yang diorganisasi secara terperinci dan dalam permainan pula, mereka akan menambah permainan yang mengikut peraturan dengan aktiviti-aktiviti yang lebih kasar.
Perkembangan fizikal akhir kanak-kanak pula iaitu ketika berumur 9 hingga 11 semakin berkembang. Pada ketika ini, kemahiran motor seperti berlari, melompat, melontar, menyepak, menangkap, menggelecek diuruskan dengan lebih cepat dan dikoordinasi dengan lebih baik. Selain itu, masa tindak balas bertambah baik dan membantu perkembangan kemahiran motor. Kemahiran perwakilan mendalan dalam tulisan juga semakin berkembang. Perlu diketahui bahawa peralihan akhir kanak-kanak kepada awal remaja adalah didahului oleh individu perempuan 2 tahun lebih awal.

Ketika umur meningkat kepada 11 hingga 14 tahun iaitu zaman awal remaja, pertumbuhan paling utama sekali ialah melibatkan perkembangan organ seks. Bagi remaja perempuan, pada ketika ini akan berlaku penambahan lemak pada bahagian tertentu badan dan pada ketika ini, biasanya remaja perempuan akan mengalami kematangan lebih awal berbanding lelaki. Remaja perempuan mula keluar haid dan mencapai klimaks kepada pertumbuhan badan. Bagi remaja lelaki, pada ketika inilah pertumbuhan mula memuncak dan kesedaran orientasi seksual mula wujud.














4.2 TEORI PERKEMBANGAN FIZIKAL KANAK-KANAK

Robert Havighurst merupakan seorang psikologi Amerika terkenal dengan teori perkembangan sosio budaya dan antropologi. Beliau berpendapat perkembangan kanak-kanak amat dipengaruhi oleh persekitarannya. Institusi keluarga amat mempengaruhi personaliti kanak-kanak.
Beliau menghuraikan perkembangan utama manusia sebagai satu-satu tugas seperti berjalan, berlari atau melompat, yang dilahirkan di dalam kehidupan individu pada sesuatu peringkat yang tertentu akan membawa kepuasan serta mendorongkannya mengulangi tugas tersebut. Manakala kegagalan melaksanakan tugas kali pertama akan membawa perasaan kecewa serta menghindarkannya meneruskan tugas itu. Beliau juga menegaskan bahawa perkembangan personality seseorang dipengaruhi oleh nilai-nilai, norma-norma dan budaya masyarakat. R. Havighurst menyenaraikan tugas-tugas perkembangan kanak-kanak iaitu pada peringkat kanak-kanak (6-12 tahun).

Antara tugas-tugas perkembangan kanak-kanak pada peringkat ini ialah membentuk fizikal untuk permainan. Ketika ini, kanak-kanak lebih cenderung untuk bermain atau melakukan sesuatu aktiviti yang lebih menggunakan tenaga kerana kanak-kanak pada ketika ini amat aktif. Oleh sebab itu, kanak-kanak memerlukan fizikal yang lebih kuat untuk melakukan aktiviti-aktiviti dan permainan yang lasak.

Selain itu,kanak-kanak ini juga mula membentuk konsep diri yang sihat. Hal ini kerana badan yang aktif akan menjadikan tubah badan kanak-kanak lebih sihat dan cergas. Pada peringkat ini juga, kanak-kanak telah menguasai konsep-konsep moral, nilai dan kemahiran hidup. Selain itu, kanak-kanak yang mula berkomunikasi bersama-sama rakan-rakan baru sudah mula membentuk kemahiran sosial dan mula membentuk kebebasan peribadinya.

Kanak-kanak mula memperoleh kemahiran membaca, menulis dan mengira yang biasanya diasah dan diajar oleh guru-guru ketika belajar di sekolah. Pelbagai kebolehan yang mula dikuasai oleh kanak-kanak menjadikan mereka mula belajar berdikari seperti mahu pergi ke sekolah tanpa dihantar ibu bapa, mahu membeli barang-barang mereka sendiri dan sebagainya. Ketika ini jugalah kanak-kanak mula untuk belajar membezakan peranan lelaki dan perempuan. Perasaan ingin tahu kanak-kanak pada ketika ini biasanya mula berkembang dan perkembangan yang positif membantu kanak-kanak lebih yakin dalam menhadapi dunia sebenar.


















4.3 PERKEMBANGAN KOGNITIF KANAK-KANAK

Maksud kognitif adalah berkait rapat dengan kognisi, iaitu aktiviti atau proses memperolehi ilmu secara taakulan atau pemikiran melalui deria. Maka perkembangan kognitf kanak-kanak adalah berkait rapat dengan perkembangan otak mereka serta interaksi sosial, khasnya dengan rakan sebaya yang lebih berpengalaman. Hal in bermaksud, perkembangan kognitif kanak-kanak adalah bergantung kepada perkembangan otak dan sensori motor(fizikal) serta interaksi dengan orang yang lebih berpengalaman, iaitu perkembanagn sosial.

Secara holistiknya juga, perkembangan kognitif boleh ditakrifkan sebagai proses peningkatan keupayaan fikiran, pengetahuan dan keintelektualan seorang kanak-kanak dan kemampuan menjana akal budi dalam pelbagai aktiviti penyelasaian masalah, memahami, menganalisa dan membentuk pengetahuan serta pemahaman baru terhadap pengalaman baru yang dilaluinya.

Perkembangan kognitif kanak-kanak memberi penekanan terhadap pembinaan pemikiran kanak-kanak. Ia berpusat kepada perubahan pemikiran kanak-kanak yang berlaku dalam satu peringkat perkembangan kepada yang seterusnya.








4.4 TEORI PERKEMBANGAN KOGNITIF KANAK-KANAK

Mengikut teori perkembangan Jean Piaget dalam buku Mok Soon Sang(2009), perkembangan kognitif kanak-kanak terbahagi kepada empat peringkat iaitu Peringkat Deria Motor (0-2 tahun), Peringkat Pra-Operasi (2-7 tahun), Peringkat Konkrit (7-12 tahun) dan akhir sekali ialah Peringkat Operasi Formal (selepas 12 tahun).

Bagi kanak-kanak berumur 6-12 tahun, mereka berada pada tahap ketiga berdasarkan teori Piaget yang dikenali sebagai tahap operasi konkrit iaitu berlaku semasa kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun. Pada tahap ini, kanak-kanak tidak lagi berfikir secara egosentrik seperti yang berlaku pada tahap praoperasi.

Pada ketika ini, sikap mementingkan diri sendiri dan tidak mengendahkan keperluan orang lain akan beransur hilang kerana pada peringkat ini kanak-kanak akan bersifat lebih matang dan terbuka serta bakal menempuhi peringkat seterusnya iaitu awal remaja. Selain itu, Jean Piaget berpendapat bahawa kanak-kanak akan mengalami pemusatan perhatian terhadap satu-satu perkara, mereka mula memperoleh konsep transformasi, menguasai proses kebalikan dan akhirnya mengamati proses songsang. Pada peringkat ini, perasaan ingin tahu kanak-kanak mula meningkat dan gemar bertanyakan sesuatu yang menarik minat mereka kepada orang yang lebih dewasa. Berkembangnya semangat inkuiri ini seterusnya menyebabkan mereka mula menerima pendapat orang lain.

Mengikut Jean Piaget dalam buku Mok Soon Sang(2009), kanak-kanak akan mula belajar bermain dan bergaul dengan rakan-rakan yang sebaya kerana pada tahap ini mereka akan mula memasuki zaman persekolahan. Satu lagi perubahan yang dapat dilihat ialah mereka sedikit demi sedikit sudah mula memahami unsur-unsur pemikiran logik. Mereka faham akan konsep-konsep nombor, berat, susunan dan padanan. Mereka juga faham akan konsep pengekalan sesuatu benda atau objek. Walaubagaimanapun, kanak-kanak pada umur sebegini masih belum memahami atau menaakul tentang perkara-perkara yang abstrak seperti konsep kenegaraan, ketuhanan, makna hidup dan sebagainya. Mereka hanya memahami konsep-konsep yang konkrit atau objektif seperti mengenali haiwan, tumbuhan dan sebagainya. Dengan itu, Inhelder dan Piaget (1958) menegaskan bahawa kanak-kanak pada tahap ini boleh melaksanakan sesetengah operasi ke atas objek lain tetapi tidak boleh beroperasi ke atas operasi atau proses pemikirannya sendiri.

Di dalam Teori Pembelajaran Kognitif Piaget (1970), terkandung lima konsep yang asas, iaitu skema, adaptasi, keseimbangan, asimilasi dan akomodasi yang berkait rapat dengan pembelajaran kognitif seseorang individu.

Skema merujuk kepada kebolehan atau pengalaman individu yang dipelajari dan diperolehi berdasarkan syarat-syarat yang diwarisi untuk melakukan sesuatu dengan cara tertentu. Contohnya, sewaktu dilahirkan, bayi telah dilengkapkan dengan beberapa gerakan pantulan yang dikenali sebagai skema seperti gerakan menghisap, memandang, mencapai, merasa, memegang, serta menggerakkan tangan dan kaki. Bagi gerakan memegang, kandungan skemanya adalah memegang benda yang tidak menyakitkan. Oleh itu, bayi juga akan cenderung memegang benda-benda yang tidak menyakitkan seperti contoh, jari ibu. Skema yang ada pada bayi akan menentukan bagaimana bayi bertindakbalas dengan persekitarannya.

Adaptasi pula merupakan satu keadaan di mana wujud keseimbangan di antara akomodasi dan asimilasi untuk disesuaikan dengan persekitaran. Keadaan keseimbangan akan wujud apabila kanak-kanak mempunyai kecenderungan semulajadi untuk mencipta hubungan apa yang dipelajari dengan kehendak persekitaran.
Jean Piaget mendapati kemampuan mental manusia muncul di tahap tertentu dalam proses perkembangan yang dilalui. Menurut beliau, perubahan daripada satu peringkat ke satu peringkat seterusnya hanya akan berlaku apabila kanak-kanak mencapai tahap kematangan yang sesuai dan terdedah kepada pengalaman yang relevan.

Asimilasi merupakan satu proses penyesuaian antara objek yang baru diperolehi dengan skema yang sedia ada. Proses asimilasi yang berlaku membolehkan manusia mengikuti sesuatu modifikasi skema hasil daripada pengalaman yang baru diperolehi.
Contohnya, seorang kanak-kanak yang baru pertama kali melihat sebiji epal. Oleh itu, kanak-kanak tersebut akan menggunakan skema memegang (skema yang sedia ada) dan sekaligus merasanya. Melaluinya, kanak-kanak tersebut akan mendapat pengetahuan yang baru baginya berkenaan "sebiji epal".

Akomodasi merupakan suatu proses di mana struktur kognitif mengalami perubahan. Akomodasi berfungsi apabila skema tidak dapat menyesuaikan persekitaran baru yang belum lagi berada dalam perolehan kognitif kanak-kanak. Jean Piaget menganggap perubahan ini sebagai suatu proses pembelajaran. Contohnya, kanak-kanak yang berumur dua tahun yang tidak ditunjukkan magnet akan menyatukan objek baru ke dalam skemanya dan mewujudkan penyesuaian konsep terhadap magnet itu.


Penulis: ar-rifke
Sumber : ariedrifke.blogspot.com

1 comments:

Post a Comment

Share

Sebarkan.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More