Tuesday, October 27, 2009

Refleksi BIG



REFLEKSI

Alhamdulillah, bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana saya telah berjaya melaksanakan Bina Insan Guru(BIG) sesi pertama bagi tahun 2009. BIG yang telah kami lalui ini telah dilaksanakan di Pulau Poh, Tasik Kenyir. BIG yang mengambil masa selama 4 hari 3 malam ini benar-benar telah memberi saya banyak input yang amat berguna kepada saya untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian terutamanya kehidupan saya dalam profesion perguruan.

Selama mengikuti BIG ini, saya telah menempuh banyak cabaran, dugaan dan halangan yang telah diberikan dari para pensyarah pembimbing tanpa saya sedar semua cabaran dan halangan ini semua sebenarnya mempunyai motif yang sangat besar. Setiap perlakuan kami ketika mengikuti BIG, para pensyarah pembimbing sentiasa awasi dan sentiasa memberi bantuan supaya kami dapat mencapai motif tersebut.

BIG yang buat pertama kali bagi saya ini telah banyak memberi saya ilmu pengetahuan yang tidak ternilai harganya dan amat sukar diperolehi jika BIG ini tidak dilaksanakan. Nilai-nilai murni juga telah berjaya diserap dan saya amat bertuah kerana BIG ini telah banyak memberi saya peluang untuk menilai keupayaan diri saya dari segi persedian untuk menjadi seorang guru yang proaktif, fleksibel dan berkeyakinan tinggi.
Antara aktiviti yang telah dilaksanakan dalam BIG ini ialah berkayak, “water confident”, “jungle trecking”, latihan dalam kumpulan(LDK), memancing, masakan rimba, kawad kaki, “BBQ”, dan malam persembahan. Pada mata kasar, boleh dikatakan semua aktiviti yang dilakukan ini dilihat seperti satu aktiviti untuk berseronok. Namun, saya yakin bahawa semua aktiviti ini mempunyai motif tersendiri dan hanya kami semua yang perlu lihat, kaji, dan aplikasikannya nanti.

Pada hari pertama, sebelum bertolak kami semua seramai 82 orang guru pelatih telah dibahagikan kepada 6 kumpulan. Jika dilihat pada mata kasar, pembahagian kumpulan ini mungkin untuk memudahkan sesuatu kerja sahaja. Namun, motif utamanya adalah untuk memberi peluang kepada kami semua bergaul, berorganisasi, dan bekerjasama dengan mereka yang saya tidak sempat kenal lagi sebelum ini. Keadaan ini jika dilihat dengan lebih terperinci adalah bertujuan untuk membiasakan guru pelatih dengan keadaan sebenar profession perguruan yang sebenarnya memerlukan seseorang guru itu berkomunikasi, bersosial dan bekerja dengan masyarakat yang mempunyai pelbagai ragam dan perangai. Pendedahan seperti ini menjadikan saya lebih bersedia apabila saya ditugaskan di tempat baru dimana tiada siapa lagi yang saya kenal sebelum ini.

Pada sebelah malamnya, Latihan Dalam Kumpulan(LDK) pula dilakukan. LDK yang dijalankan telah banyak membantu saya untuk lebih yakin apabila bercakap dihapadan ramai. LDK ini telah membantu saya untuk lebih berani melontarkan idea-idea saya dan bersedia untuk mendengan kritikan atau pandangan dari pihak lain. Aktiviti ini juga telah membentuk saya menjadi seorang yang lebih peka dan fokus terhadap seseorang yang melontarkan idea atau sedang berhujah. Semua ini penting bagi saya kerana latihan seperti ini adalah satu perkara yang pasti dilalui oleh seorang guru. Sebagai contoh apabila bermusyuarat saya pasti diberikan peluang untuk bercakap dan memberikan idea kepada ahli lain dan mendengar idea-idea dari orang lain. Tanpa nilai murni seperti ini, pasti saya tidak mampu untuk bekerjasama dengan guru-guru lain dan gagal meneruskan agenda mesyuarat.

BIG ini juga telah berjaya membantu saya menjadi seseorang yang lebih yakin kepada kebolehan diri sendiri dan bersemangat melaksanakan sesuatu. Ketika aktiviti “water confident”, saya terpaksa menyelam didalam air dan berenang di Tasik Kenyir. Walaupun saya tidak pandai berenang dan takut pada mulanya,namun begitu dengan tunjuk ajar pensyarah dan juga semangat yang diberikan oleh rakan-rakan saya akhirnya berjaya melakukannya juga. Kini saya berasa lebih yakin untuk melakukan sesuatu kerana bagi sekarang saya faham bahawa sesuatu perkara yang mungkin sukar dilakukan pasti saya boleh lakukan sama ada seorang diri mahupun dengan tunjuk ajar dari orang lain. Perkara yang menjadi tunjang utama adalah semangat yang datang dari dalam diri dan jika saya mempunyai semangat itu, saya yakin saya mampu melakukan perkara yang sukar. Jika dilihat dari segi yang lebih luas, perkara ini amat penting kerana sebagai seorang guru saya pasti akan diberikan pelbagai tugas sama ada dalam sekolah atau diluar sekolah. Jadi dengan adanya pendedahan seperti ini yang banyak membantu saya untuk lebih yakin menghadapi tugasan, saya pasti akan lebih berusaha untuk melaksanakan tugasan yang diberikan itu dengan sempurna dan jayanya.

Selain itu, saya juga dilatih untuk menjadi lebih bertolak ansur antara satu sama lain. Sebagai contohnya, pada setiap malam kami dalam satu kumpulan telah bergilir-gilir berkawal dikawasan khemah bermula dari jam 12 tengah malam sehingga jam 6 pagi. Akiviti ini yang dilihat amat memenatkan telah berjaya dilakukan apabila kami semua bertolak ansur untuk sama-sama berkawal mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh ketua kumpulan. Saya dan seorang lagi rakan yang telah diberikan tugas untuk berkawal pada jam 3 pagi telah berkawal di sekitar khemah bagi menjaga keselamatan setiap ahli dari apa juga perkara yang mungkin boleh membawa padah. Aktiviti seperti ini tidak mungkin berjaya jika ada ahli kumpulan yang mementingkan diri sendiri dan tidak mahu berkawal apabila tiba giliran mereka tiba. Saya yakin, suatu hari nanti pasti saya akan diberikan tugas oleh pihak atasan bersama guru-guru lain untuk melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan kami bertolak ansur supaya matlamat perkara tersebut dapat dicapai. Pendedahan awal ini telah menjadikan saya lebih bersedia menghadapi semua perkara itu.

Kreativif dan fleksibel juga merupakan perkara penting dalam diri seorang insan bergelar guru. Ketika menghadiri program BIG ini, saya telah dilatih untuk menjadi seorang yang lebih fleksibel dan kreatif dalam menghadapi sesuatu perkara. Ketika melakukan persiapan bagi malam persembahan, kami semua telah berjaya mewujudkan satu persekitaran yang meriah dan bertepatan dengan malam persembahan. Masa yang singkat yang diberikan untuk melakukan persiapan itu menyebabkan kami semua lebih kreatif memberi idea bernas dan fleksibel dengan suasana hutan tanpa kemudahan-kemudahan yang ada seperti di institut. Dekorasi yang dilakukan menggunakan item-item yang berada dihutan dan pelbagai lagi perkara yang dilakukan bagi memeriahkan lagi majlis menjadikan pemikiran saya lebih terbuka kerana semua ini menuntut tahap kreativiti yang amat tinggi. Perkara ini pasti saya dapat aplikasikan suatu hari nanti apabila saya dihantar untuk mengajar di sekolah terutamanya di sekolah yang infastrukturnya kurang baik dan alat bantu mengajar yang terhad. Saya yakin bahawa, dengan pemikiran kritikal yang hebat pasti saya dapat mereka satu alat bantu mengajar yang hanya terdiri dari item-item yang berada di kawasan sekitar sahaja. Semua ini pasti berguna dan membantu pelajar dalam pembelajaran mereka.

Pengalaman mengikuti program BIG juga banyak mengajar saya untuk berkomunikasi dan bekerja dalam satu organisasi. Sebelum bertolak ke Tasik Kenyir, kami semua iaitu seramai 82 orang guru pelatih telah dibahagikan kepada 6 kumpulan. Setiap ahli dalam kumpulan pula masing-masing diberikan satu tugas pada satu masa seperti ketua, setiausaha, tukang masak, penolong tukang masak, tugas-tugas khas dan lain-lain lagi. Sistem yang diketengahkan di BIG ini ialah sistem putaran atau “rotation” tugas. Hal ini memberi peluang kepada setiap ahli kumpulan untuk merasai memegang setiap jawatan dalam kumpulan. Perkara ini amat berkesan kerana sistem yang dibentuk oleh pensyarah pembimbing ini bertujuan untuk memberi peluang kepada kami semua untuk menjadi pemimpin dan orang yang dipimpim. Pendedahan ini merupakan satu pendedahan positif yang memberi impak besar kepada saya terutama apabila saya menjadi ketua kumpulan. Ketika itu saya sedar bahawa tugas menjadi seorang ketua amat berat kerana semua kebajikan, tugas dan banyak perkara lagi menjadi satu tugas ketua. Pengalaman berorganisasi ini akan saya manfaatkan sepenuhnya sama ada di institut atau ketika berada di alam pekerjaan kerana saya sedar bahawa ada ketika saya akan menjadi pemimpin dan ada ketika saya akan menjadi mereka yang dipimpin.

Aktiviti pagi iaitu akiviti berkawad di padang juga mempunyai objektif tersendiri. Berdasarkan pemerhatian saya ketika di BIG, saya dan rakan-rakan semua telah diajar untuk menepati masa dalam melakukan aktiviti. Ketika berkawad pada sebelah pagi, tepat jam 7.30 pagi kami semua mesti berkumpul di padang kawad. Arahan yang diberikan oleh pensyarah merupakan satu lagi latihan yang saya lihat satu usaha bagi membentuk guru pelatih menepati masa. Perkara ini penting kerana sebagai seorang bakal guru dan seorang guru, masa memainkan peranan penting dalam kehidupan. Ketika di insitut atau di sekolah nanti, saya perlu berada di sana sebelum jam 7.45 lagi dan ini bermakna untuk sampai kesana saya perlu bersiap dengan lebih awal. Jika dilihat sekarang, ramai guru pelatih sama ada lelaki atau perempuan yang datang lewat ke kuliah dan ini merupakan satu fenomena yang amat merungsingkan pensyarah. Pendedahan di BIG ini telah merubah saya dan rakan-rakan lain supaya menepati masa sama ada ketika ke kuliah ataupun mengaplikasikannya dalam kehidupan
seharian kami.

Selama 4 hari 3 malam saya mengikuti program BIG ini, begitu hebat saya rasakan kekuatan mental dan fizikal saya telah diuji. Bermula dari bahang panas matahari, kesejukan air tasik kenyir, kepenatan meredah hutan dan banyak lagi aktiviti yang sangat mencabar telah saya lalui. Pendedahan sebegini saya anggap satu pendedahan yang amat baik bagi saya kerana dengan cara inilah saya dan rakan-rakan dapat mengukur sejauh mana ketahanan diri kami sendiri. Persediaan dari segi mental dan fizikal amat penting kerana kami semua sebagai bakal pendidik belum pasti lagi kemana arah kami seterusnya apabila tamat belajar di institut perguruan ini. Mungkin kami dihantar ke kawasan bandar, tetapi mungkin juga kami akan diarahkan untuk mengajar di kawasan jauh ke pedalaman. Pendedahan sebegini membolehkan kami semua mengukur sejauh mana tahap dan kemampuan diri kami sama ada kami sudah bersedia untuk mengembara ke sekolah yang mungkin juah ke pelusuk rimba atau belum.

Akhir sekali, saya sangat bersyukur kerana telah melalui program BIG ini yang telah banyak memberi saya pengetahuan, menguji mental dan fizikal diri saya dan yang paling penting dapat membantu diri saya bagi membina jati diri seorang pendidik yang berkarisma tinggi. Saya berharap pada BIG yang seterusnya, saya akan lebih banyak menimba pengalaman dan ilmu bagi mencapai matlamat saya untuk menjadi seorang pendidik yang gemilang.


Penulis: ar-rifke
Sumber : ariedrifke.blogspot.com

2 comments:

Thankfulness to my father who told me about this webpage, this
website is actually remarkable.

My web blog: ultrasound technician schools in california

Tk, maklumat yang membantu untuk penulisan kendiri.

Post a Comment

Share

Sebarkan.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More