Tuesday, October 27, 2009

Tamadun Islam dan Tamadun Asia (PERBEZAAN TAMADUN)

3.0 PERBEZAAN ANTARA TAMADUN ISLAM DENGAN TAMADUN CHINA

Tamadun Islam dan Tamadun China sebenarnya mempunyai begitu banyak perbezaannya. Secara terperincinya, kita boleh pecahkan perbezaan antara dua tamadun ini kepada 8 iaitu agama, politik, kekeluargaan, ekonomi, pendidikan, sistem tulisan, kesenian dan akhir sekali ialah sumbangan tamadun itu sendiri kepada dunia.

Tamadun Islam merupakan satu tamadun yang paling unik kerana kelahirannya adalah asas daripada agama. Kelahiran Islam di Semenanjung Tanah Arab telah mencetuskan sebuah tamadun yang unggul. Jika dilihat kepada tamadun-tamadun lain, lahirnya tamadun akan membawa kepada kewujudan sesuatu fahaman dan agama, tetapi tidak bagi Tamadun Islam. Tamadun Islam mempercayai bahawa Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pegangan dan rujukan hidup mereka. Kepercayaan kepada Allah, Malaikat, Rasul, Kitab, Hari Khiamat serta Qada dan Qadar merupakan perkara yang wajib dipercayai oleh mereka semua.

Tamadun China pula mempunyai pandangan yang berbeza dimana Tumpuan ajaran-ajaran kepercayaan orang Cina banyak berkisar di sekitar diri manusia. Oleh itu, konsep ketuhanan bagi kepercayaan orang Cina tidak diberi keutamaan. Tuhan orang Cina dizahirkan dalam bentuk dewa-dewi yang diberikan perwatakan manusia yang mencerminkan kepercayaan mereka yang mementingkan manusia berhubung kebaikan dunia dan akhirat. Ini berbeza dengan agama-agama Masihi seperti Kristian dan Islam yang mengakui kewujudan Tuhan yang satu. Agama atau kepercayaan bagi masyarakat Cina adalah sesuatu yang personal. Mereka bebas mengamalkan beberapa agama dan kepercayaan sekaligus yang diyakini mereka dapat memberikan kesejahteraan hidup mereka asalkan tidak bercanggah dengan adat dan budaya mereka. Ianya harus sesuai dengan kehendak orang Cina dan tidak menghilangkan identiti mereka.

Perbezaan yang kedua ialah dari segi kerajaan atau politik. Bagi tamadun Islam, kekuasaan dan pemerintahan ialah hak dan milik mutlak Allah s.w.t dan dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Pangkat dan kedudukan seseorang merupakan perhiasan hidup Zinat al-hayah, pemberiaan Allah s.w.t untuk menguji ketaatan dan kesetiaan hamba-Nya. Jawatan dan kekuasaan boleh menjadi satu kemuliaan dan juga pada masa yang sama boleh menjadi satu kehinaan. Dalam tamadun Islam, kesetiaan kepada raja dan perlindungan yang diberi oleh raja kepada rakyatnya adalah dimensi yang penting. Penderhakaan merupakan jenayah yang paling berat hukumannya dalam tamadun Islam.

Bagi Tamadun China pula, ajaran Confucius telah memberi satu garis panduan mengenai hubungan antara pemerintah dengan rakyatnya. Pemerintah mestilah berperanan sebagai bapa kepada rakyat. Ini bemakna, seseorang raja perlulah mempunyai moral yang baik kerana baginda akan menjadi pelindung kepada rakyatnya. Tanpa sifat-sifat yang sedemikian mandat atau kelayakan seseorang raja untuk memerintah sesebuah dinasti akan terhapus. Namun demikian Confucius tidak menganjurkan rakyat menentang raja yang tidak mempunyai moral yang baik.

Dalam aspek kekeluargaan pula, bagi Tamadu Islam telah ditetapkan dalam agama Islam bahawa asas pembentukan keluarga ialah perkahwinan. Kedudukan wanita adalah sama dengan kedudukan lelaki. Kaum wanita telah diberi hak asasi yang sama dengan lelaki dan tanggungjawab kaum wanita setaraf dengan lelaki dalam segala aspek kehidupan yang bersesuaian. Berbeza dengan Tamadun China, sistem kekeluargaan berasaskan kuasa bapa dan ini telah diserap masuk ke dalam pelbagai aspek kehidupan sosial serta mendatangkan impak yang mendalam terhadap arah perkembangan kebudayaan China. Antara ciri-ciri masyarakat yang memperlihatkan pengaruh sistem kekeluargaan Cina termasuk waris sebelah bapa dan pemerintah yang berpusatkan bapa, kuasa suami yang tertinggi dan perhubungan suami isteri yang berjauhan, mementingkan anak lelaki berbanding anak perempuan dan sebagainya.

Aspek ekonomi bagi Tamadun Islam adalah berbeza dengan Tamadun China dimana dalam Tamadun Islam unsur riba tidak dibenarkan di dalam perniagaan. Di dalam Islam juga, unsur penipuan seperti mengurangkan timbangan, boros, kedekut dan membazir tidak dibenarkan sama sekali. Islam membenarkan umatnya berniaga asalkan ianya dijalankan secara halal, bersih, suci, berguna dan tidak membahayakan. Selain itu, beberapa langkah juga telah di ambil untuk memajukan sektor pertanian antaranya seperti melebarkan sungai dan terusan, membuat empangan, membuka tanah pertanian baru dan membuat penyelidikan dalam bidang pertanian.

Tamadun China pula dipengaruhi oleh falsafah Konfusianisme iaitu memberi perhatian kepada kepentingan golongan petani. Falsafah Konfusianisme memandang rendah kepada golongan pedagang kerana golongan ini dikatakan sentiasa terlibat dengan penipuan dan keuntungan yang merupakan elemen-elemen yang buruk mengikut ajaran Konfusianisme. Selain itu, di dalam tamadun China, penciptaan telaga, kolar kuda, pembinaan terusan, tanaman bergilir dan sebagainya adalah langkah yang di ambil untuk memajukan ekonomi mereka.

Pendidikan dalam Tamadun Islam pula lebih menekankan konsep tauhid yang memainkan peranan penting dalam transformasi manusia. Sebaliknya dalam ajaran-ajaran Buddha, transformasi sifat (character) dapat dicapai melalui proses mencari diri sendiri (self-siscovery). Masyarakat Hui ternyata sentiasa memberikan perhatian yang serius dalam bidang pendidikan agar mereka berpeluang untuk maju seiring dengan bangsa Han di peringkat kebangsaan. Oleh itu, masyarakat Hui merupakan satu-satunya kumpulan etnik minoriti yang mendapat pendidikan yang memuaskan dan sewajarnya berbanding kumpulan-kumpulan etnik minoriti yang lain.
Perbezaan seterusnya ialah sistem tulisan. “tulisan jawi” dalam Tamadun Islam telah wujud sekitar abad ke 10 Masehi atau 3 Hijrah. Tulisan jawi berasal daripada skrip Arab dan bukti kewujudan tulisan jawi pada ketika itu ialah batu nisan, ukiran-ukiran pada masjid dan istana, batu bersurat, duit syiling dan sebagainya.

Tulisan Cina atau Hanzi dalam Tamadun China merupakan antara tulisan yang paling tua di dunia. Tulisannya adalah berlainan dengan tulisan dalam tamadun lain dimana seperti sedia maklum, tulisan Arab, jawi ditulis berdasarkan cantuman beberapa huruf bagi membentuk maknanya. Berbeza dengan tulisan Hanzi kerana iainya berdasarkan Syllabe, tetapi berdasarkan huruf-huruf. Oleh itu, bahasa Cina memiliki 50,000 patah perkataan yang tidak semua diketahuioleh orang Cina. Pada umunya, mereka hanya mengetahui hanya 3000 patah perkataan sahaja. Tulisan dalam tamadun China adalah berdasarkan kepada lambang-lambang gambar, lambang petunjuk, lambang petunjuk fikiran dan gabungan bunyi-bunyi.

Perbezaan dari segi kesenian dalam Tamadun Islam pula ialah dapat dilihat dalam seni halus seperti tulisan khat, lagu nasyid, ukiran kayu, seni persembahan melayu, seni tekstil dan sebagainya. Seni ini telah menjadi warisan dalam diri mereka sejak berkurun lamanya. Bagi Tamadun China, kesenian seperti seni Opera iaitu seni drama yang mana pelakonnya memakai pakaian berwarna-warni, menari-nari dan memutihkan muka mereka. Selain itu, seni Tamadun China juga dapat dilihat dalam muzik klasik, kaligrafi, seni lukis, seni pembinaan, seni mempertahankan diri seperti kung fu dan sebagainya telah menjadi warisan dalam hidup mereka.

Akhir sekali ialah perbezaan Tamadun Islam dengan Tamadun China dari aspek sumbangan tamadun kepada dunia. Antara sumbangan Tamadun Islam yang terbesar ialah dalam bidang sains. Ilmu kimia yang dikembangkan oleh Gaber Ibn Hayyan telah menyumbang kepad pelbagai penemuan baru seperti teknik peleburan emas, menganalisa asid nitrik dan acetik yang tulin dan sebagainya. Pelbagai kajian dalam bidang biologi seperti botani, dan zoologi telah dijalankan. Tamadun Islam juga menyaksikan bidang Fizik dan perubatan mula berkembang pesat dengan hadirnya cendekiawan islam seperti Ibn Sina, Al-Zahrawi dan ramai lagi dimana ilmu mereka masih lagi dikaji dan dipakai hingga sekarang. Al-Khawarizmi iaitu tokoh matematik dunia juga tidak ketinggalan dalam menyumbangkan idea dalam peradaban dunia. Holistiknya, tamadun Islam telah memberi banyak sumbangan kepada dunia dalam bdang sains dan menjadi pelopor kepada perkembangan sains pada hari ini.

Tamadun China juga banyak memberi sumbangan kepada dunia seperti bidang penciptaan, teknologi, astronomi, perubatan, matematik dan sebagainya. Dalam bidang perubatan, Tamadun China begitu tersohor dengan konsep Yin dan Yang dimana konsep ini dijadikan panduan dalam bidang perubatan. Tamadun China juga menyaksikan perkembangan tentang pertemuan baru seperti magnet, penciptaan kompas, penghasilan lilin daripada serangga dan sebagainya. Antara ciptaan hebat tamadun China juga ialah penciptaan kertas oleh Cai Lun(105), serbuk letupan dan sebagainya.
Pelbagai perbezaan dapat dilihat diantara 2 tamadun ini kerana tahap pemikiran, idea, persekitaran, politik dan pelbagai lagi unsur berbeza yang mempengaruhi pencapaian sesuatu tamadun tersebut.


Penulis: ar-rifke
Sumber : ariedrifke.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

Share

Sebarkan.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More