Thursday, December 8, 2011

BAGAIMANA PENTINGNYA PENILAIAN DIAGNOSTIK MATEMATIK DAPAT MEMBANTU PEMBELAJARAN MURID-MURID SEKOLAH RENDAH?

BAGAIMANA PENTINGNYA PENILAIAN DIAGNOSTIK MATEMATIK DAPAT MEMBANTU PEMBELAJARAN MURID-MURID SEKOLAH RENDAH?

Pengenalan

Penilaian diagnostik adalah satu bentuk penilaian penting yang membantu pembelajaran murid di sekolah rendah dengan memberikan gambaran awal tentang tahap kefahaman murid terhadap konsep matematik. Tujuan penilaian ini dibuat juga adalah untuk mengukur pencapaian pelajar, kefahaman dan pengetahuan sedia ada murid. Penilaian terhadap subjek Matematik ini sangat penting kerana Matematik adalah satu subjek yang sukar untuk dikuasai oleh murid-murid berbanding subjek bahasa. Idea saya ini juga turut disokong oleh Mok Soon Sang(1992) yang menyatakan guru dan pelajar sekolah rendah sukar untuk mengajar dan belajar matematik. Oleh sebab itu, penilaian merupakan satu keperluan untuk membantu murid dan guru dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik sekolah rendah.

Berdasarkan idea bahawa penilaian sangat penting dalam pembelajaran Matematik, maka saya telah menjalankan satu ujian saringan bagi pelajar kelas 5 Mahir di Sekolah Zainab (2) yang terdiri daripada 39 orang pelajar. Topik yang dipilih ialah topik Isipadu Cecair yang terdiri daripada soalan struktur dengan jumlah 20 soalan seperti dalam Lampiran A. Relevan saya memilih topik ini ialah melalui pemerhatian saya terhadap kertas soalan UPSR Matematik 1 dan 2 tahun-tahun sebelumnya, topik Isipadu Cecair ini merupakan satu topik penting kerana banyak soalan dari topik ini dimasukkan kedalam soalan UPSR. Melalui ujian saringan yang dibuat, saya dapati 2 orang pelajar telah mendapat markah yang rendah iaitu Nur Amney dengan 38% dan Airin Kamilia dengan 48%. Keputusan penuh ujian saringan boleh dilihat pada Lampiran A(2).

Berdasarkan kefahaman dan keyakinan saya terhadap keberkesanan penilaian diagnostik sebagai langkah membantu meningkatkan kefahaman murid-murid terhadap matematik ini, saya akan terangkan sejauh mana ianya membantu pengajaran dan pembelajaran matematik di kalangan murid sekolah rendah melalui 3 isi utama iaitu:

1. Penilaian Diagnostik meningkatkan kefahaman murid tentang konsep dan kemahiran matematik.

2. Penilaian Diagnostik membantu meningkatkan motivasi murid.

3. Penilaian Diagnostik membantu mengenalpasti kelemahan murid dan pendekatan yang sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

Penilaian Diagnostik Meningkatkan Kefahaman Murid Tentang Konsep Dan Kemahiran Matematik.

Penilaian diagnostik meningkatkan kefahaman murid tentang konsep dan kemahiran matematik. Seperti yang kita tahu, penggunaan kemahiran asas ini sangat penting dalam pembelajaran matematik sebagai contohnya kemahiran mendarab yang merupakan satu kemahiran dan konsep asas matematik yang sangat penting dalam matematik. Hasil dapatan kajian yang dibuat oleh Mohd Zain (1984) juga membuktikan bahawa kelemahan pelajar di dalam Matematik adalah kerana pelajar tidak dapat menguasai fakta asas darab.

Hasil ujian saringan yang dibuat, saya telah mengenalpasti dua kelemahan pelajar iaitu pada penukaran unit liter dan milliliter serta soalan berbentuk ayat matematik atau penyelesaian masalah. Dari sini, saya telah merangka dan membina satu ujian diagnostik berdasarkan dua kelemahan besar pelajar dalam menguasi konsep asas menjawab soalan penukaran unit dan soalan berbentuk ayat matematik. Sebanyak 20 soalan ujian diagnostik telah saya bina seperti dalam Lampiran B yang bertujuan untuk menentusahkan kelemahan pelajar dan kenapa berlakunya salah faham konsep asas matematik tersebut. Berdasarkan ujian diagnostik ini, saya telah kenal pasti bahawa kesalahan ketara kedua-dua pelajar ini ialah kerana salah tanggap dan kurang menguasai konsep 1liter bersamaan 10000 mililiter yang menyebabkan proses penukaran unit ini menjadi sukar. Kesilapan mereka ini kerap kali berulang dan ianya boleh dilihat di dalam Lampiran B (2 & 3). Boleh dilihat, Amney dan Airin mengalami masalah yang sama dimana mereka tidak boleh menjawab soalan nombor 11 yang memerlukan mereka menukar unit dari liter kepada mililter.

Selain itu, gagal memahami soalan matematik berayat juga merupakan satu lagi kelemahan kedua-dua murid ini dimana kedua-duanya gagal menjawab soalan nombor 19 yang melibatkan soalan berayat matematik. Walaupun soalannya sangat pendek, namun kerana ditulis dalam bentuk ayat matematik, mereka jadi keliru dan gagal menjawabnya dengan betul. Kajian menunjukkan murid sekolah rendah tidak berupaya menyelesaikan masalah matematik berayat walaupun mereka menguasai kemahiran operasi secara prosedur (Mokhtar, 2010). Dari sini jelas bahawa soalan matematik berayat benar-benar sukar dan perlukan pemahaman yang tepat.

Melalui ujian diagnostik, saya telah mengetahui apa kelemahan murid saya dan kemudian telah dapat menjalankan kelas pemulihan terhadap mereka. Saya telah mengajar tentang dua konsep utama Matematik yang mereka lemah iaitu mengenai penukaran unit dan juga penyelesaian masalah berayat matematik. Selepas melakukan beberapa kali kelas pemulihan dengan menggunakan kaedah pengulangan teknik yang sama, kedua-dua pelajar telah menunjukkan peningkatan terhadap kefahaman mereka dimana kedua-dua mereka telah berjaya menjawab hampir kesemua betul dengan peratusan 98% bagi ujian kedua diagnostik.

Jadi, jelas bahawa ujian diagnostik ini membantu meningkatkan kefahaman murid terhadap pembelajaran mereka. Sekiranya ujian pemulihan pertama gagal, maka pengulangan pemulihan mengunakan kaedah pemulihan yang berbeza diperlukan. Walaupun pelbagai kaedah digunakan, tetapi fokus utamanya jelas iaitu ujian diagnostik akan menjadi kayu pengukur tahap kefahaman mereka seterusnya membuktikan peningkatan tahap kefahaman mereka dalam sesuatu topik.

Penilaian Diagnostik Membantu Meningkatkan Motivasi Murid

Motivasi bermakna sesuatu kuasa yang mendorongkan seseorang melakukan sesuatu untuk mencapai matlamat atau kejayaan (Wong, 1998). Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, motivasi dianggap satu unsur penting yang membolehkan murid-murid melibatkan diri secara aktif, disamping menjadikan proses pembelajaran itu berlangsung dalam keadaan bermakna, berfaedah dan menggembirakan (Kamarudin Hj Husin, 1993). Oleh sebab itu, motivasi perlu dititik beratkan dalam diri murid bagi memaksimakan kefahaman mereka dalam proses pembelajaran. Melalui pengalaman saya sendiri melaksanakan ujian diagnostik, saya yakin penilaian diagnostik mampu meningkatkan motivasi murid. Idea saya ini telah diperkukuhkan lagi dengan pandangan Bonwell dan Eison (1991) yang menyatakan penilaian menjadikan murid bermotivasi untuk terus belajar.

Proses pemulihan yang saya jalankan keatas 2 orang murid ini menggunakan pendekatan “main sambil belajar”. Saya telah menggunakan kaedah eksperimen dan teka-teki. Contohnya bagi kaedah eksperimen, saya telah fokuskan kepada pemahaman konsep penukaran unit dan konsep utama yang saya terapkan ialah 1000 mililiter air ialah bersamaan dengan 1 liter air. Melalui eksperimen, saya berikan mereka peluang untuk memanipulasi bahan maujud supaya mereka lebih mengingati dan memperkukuhkan ingatan mereka bagi jangka masa yang lama. Dari pemerhatian saya, dalam masa 1 jam kelas pemulihan tersebut kedua-dua murid ini telah memahami konsep bahawa 1000 mililiter ialah 1 liter dan sebaliknya. Saya dapat melihat bahawa semasa kelas pemulihan, mereka sangat teruja, seronok dan boleh gelak ketawa sambil belajar. Ini jelas membuktikan mereka seronok belajar Matematik kerana merasakan Matematik ini mudah dengan pelbagai aktiviti yang menarik. Motivasi untuk belajar sangat jelas terpancar dari raut wajah keriangan 2 murid ini dan motivasi diri yang meningkat menyebabkan mereka mudah untuk menerima setiap konsep Matematik yang sebelum ini disalah anggap atau dianggap sukar.

Jelas sekali ini membuktikan bahawa penilaian diagnostik menjadikan pembelajaran matematik lebih menyeronokkan dan yang penting dapat meningkatkan motivasi murid-murid. Perkara ini turut disokong oleh Barr, Clegg, Wallace (1981) yang menyatakan aktiviti bermain adalah bertujuan untuk keseronokkan dan melakukan aktiviti yang menyeronokkan bersama rakan dapat membina motivasi murid untuk belajar sesuatu khususnya matematik.

Semasa murid menjalani kelas pemulihan, saya telah mengajar mereka satu cara membuat “buku origami”. Di dalam buku itu saya tuliskan konsep-konsep asas yang perlu dikuasi oleh mereka bagi topik Isipadu Cecari. Proses membina buku origami itu sahaja sudah menyebabkan murid sangat terhibur dan teruja untuk belajar dan ini ditambah lagi dengan aktiviti teka-teki sesame mereka. Amney dan Airin dilihat lebih yakin untuk utarakan idea dan apa yang telah mereka pelajari. Ini menunjukkan tahap motivasi diri kedua-dua murid ini telah meningkat. Jelas sekali jika proses menghafal konsep-konsep asas seperti penukaran unit liter kepada milliliter perlu didarab dengan 1000 ini dilakukan secara tradisional, pasti murid-murid akan cepat bosan, tidak bersemangat dan mungkin tahap kefahaman mereka akan berada pada tahap yang minimum sahaja. Hal ini telah dikuatkan lagi dengan idea oleh Noraini Idris (2001) yang menyatakan interaksi antara murid dan pembelajaran aktif mempunyai kekuatan tersendiri bagi membantu murid bermotivasi untuk terus belajar.

Secara keseluruhannya, penilaian diagnostik dapat meningkatkan motivasi murid untuk terus belajar. Namun, ianya memerlukan pilihan aktiviti yang sesuai bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran berjalan lancar. Selain itu, guru perlu kreatif dalam memastikan murid tidak bosan untuk melakukan sesuatu aktiviti supaya dapat meningkatkan motivasi murid untuk belajar.

Penilaian Diagnostik Membantu Mengenalpasti Kelemahan Murid Dan Pendekatan Yang Sesuai Untuk Proses Pengajaran Dan Pembelajaran.

Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh dipilih oleh guru bagi mengajar murid-murid mereka. Namun, kepelbagaian pendekatan ini perlulah sesuai dengan kehendak dan kecenderungan murid itu sendiri. Teori Gardner (1993) pula menyatakan bahawa manusia mempunyai 8 kepelbagaian kecerdasan dan disinilah guru perlu meletakkan asas bahawa setiap murid mempunyai minat dan kecerdasan yang berbeza. Bagi mengukur dan mengenalpasti kepelbagaian kecerdasan inilah sebenarnya memerlukan penilaia diagnostik. Pada awalnya, guru boleh memilih mana-mana pendekatan untuk mengajar murid dan kemudian melaksanakan penilaian diagnostik ini lalu markahnya dicatatkan. Kemudian guru boleh mula memilih pendekatan yang pelbagai berasaskan 8 kecerdasan seperti warna, kinestetik, nombor dan sebagainya. Bahan bantu mengajar berasaskan 8 kecerdasan ini juga pasti membantu dan guru boleh mencatatkan pemerhatian serta hasil pengujian di akhir pembelajaran. Dari sini, guru akan dapat mengenalpasti kecerdasan murid seterusnya memilih pendekatan mana yang lebih sesuai untuk muridnya berdasarkan keputusan ujian diagnostik.

Selain itu, saya sangat yakin bahawa kepelbagaian teknik mengajar akan membantu pembelajaran matematik murid-murid sekolah rendah. Idea ini turut disokong oleh Thompson (1999) yang menyatakan setiap murid perlu mempunyai beberapa teknik yang diajar oleh guru supaya murid akan dapat meminimumkan kesalahan dalam penyelesaian masalah serta meningkatkan kefahaman pelajar. Melalui penilaian diagnostik, guru boleh mempelbagaikan teknik pengajaran seperti kolaboratif, interaksi berpasangan dan sebagainya. Kepelbagaian teknik ini akan dapat merangsang minat murid untuk belajar dan meningkatkan pencapaian murid secara langsung. Namun begitu, kunci kepada kejayaan pelaksanaan teknik pengajaran pelbagai ini perlulah disertai iaitu kawalan kelas yang baik. Saya akui bahawa kawalan kelas ialah satu pemangkin utama keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Sebab itu, ada yang guru mengatakan tidak kira sehebat mata bahan bantu mengajar guru, tetapi tanpa kawalan kelas yang sempurna maka sia-sialah usahanya itu. Walaubaimanapun, saya dapat simpulkan disini bahawa penilaian diagnostic bukan sahaja mampu mengenalpasti kelemahan murid, tetapi juga membantu mempelbagaikan teknik pengajaran guru bagi mengajar murid dengan lebih berkesan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, interaksi berpasangan dapat menggalakkan murid untuk berkongsi idea, meningkatkan motivasi untuk belajar, dan merangsang pembelajaran aktif berlaku. Interaksi berpasangan ini telah membantu murid belajar dan memahami topik geometri dengan lebih berkesan lagi. Jadi, sebagai guru kita perlu sedar bahawa kepelbagaian teknik pengajaran dan pendekatan sesuai adalah penting bagi membantu pembelajaran murid.

(1648 patah perkataan)

0 comments:

Post a Comment

Share

Sebarkan.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More